Day 8 - Ekspedisi Gua Batu Maloi

Pada 21 Disember 2014, tepat pada jam 7.30 pagi, peserta MHi telah bertolak ke Negeri Sembilan dengan menaiki 3 buah bas untuk menjalankan aktiviti yang telah dinanti-nantikan oleh para peserta dan fasilitator.

EKSPEDISI GUA BATU MALOI!

 Alhamdulillah, kami tiba di tempat yang telah dituju tepat jam 9 pagi.

 Para peserta dah tak sabar lagi untuk meneroka Gua Batu Maloi. Sebelum memasuki gua, kami telah diberi taklimat keselamatan oleh pengurus Gua Batu Maloi. Ya, keselamatan perlu diutamakan.

 Kami pun kemudiannya diminta untuk berpecah kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada ikhwah dan akhawat bagi menjamin kelancaran dan keselamatan setiap individu yang bakal menempuh pelbagai cabaran di Gua Batu Maloi.

 Lalu, ekspedisi kami pun bermula!

Terdapat 24 checkpoint yang perlu kami lalui di dalam gua tersebut. Kebanyakan peserta pada mulanya begitu teruja, dan ada juga yang takut kerana tidak dapat menjangkakan kedahsyatan di dalam gua tersebut.

 Antara halangan yang dilalui ialah meniti kayu di atas air, memanjat batuan yang teramat licin dengan memegang sekuatnya tali yang disediakan untuk sampai ke atas dan merangkak di celahan batu yang sempit dan menggerunkan tapi menyeronokkan!

Pelbagai gelagat peserta yang dapat dilihat. Ada yang terduduk, ada yang termenung panjang, dan ada yang terbaring. Terdapat peserta yang hampir berputus asa dan kepenatan, namun, dengan kata-kata semangat yang telah diberikan oleh rakan-rakan yang lain, akhirnya mereka berjaya melepasi halangan tersebut! Tahniah!

 Tidak dilupakan juga sebelum kami memulakan ekspedisi, kami turut dihidangi dengan kisah dongeng Gua Batu Maloi. Kisah ini kami dapat lihat melalui bentuk batu dalam gua tersebut yang memang sangat unik. Bentuk batu tu terhasil dari hakisan air selama bertahun-tahun lamanya.

 Antara halangan yang paling mencabar ialah mengharungi arus air terjun yang sesangat deras. Kami menggigil kesejukan tapi perjalanan tetap diteruskan!

Yang menariknya Gua Batu Maloi ni, airnya sangat-sangat sejuk dan kedalamannya ada yang mencapai paras bahu! Bentuk batunya pula berbagai-bagai dan ada yang berbentuk ala-ala kapal layar.

Akhirnya, setiap daripada kami berjaya sampai ke penghujung gua tersebut. Kami berjaya keluar, menghirup kembali udara di luar gua yang tiba-tiba terasa begitu segar sekali.

 Walaupun kepenatan dan melalui pelbagai kesusahan di dalam gua tersebut, para peserta masih ingin memasuki gua itu kembali. Melalui kembali setiap cabaran kerana kami sememmangnya amat teruja dengan pengalaman baru tersebut.

Sesungguhnya pengembaraan ini telah mengajar kami pelbagai perkara yang dapat kami aplikasikan dalam kehidupan. Pada keesokan harinya, kami dihendaki membuat refleksi diri secara berkumpulan. Antara pengajaran yang dapat dikongsikan ialah kita seharusnya melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh, all-out orang putih kata, untuk mencapai kejayaan dalam setiap perkara.











Absolutely an unforgettable expedition :)

oleh 'Iffah Rahim dan Kautsar

Comments