Day 17 - Transform

30 Disember 2014 - Money, money, money. Ya, wang. Duit. Tajuk utama slot pertama kami pada pagi itu. Tapi ia bukan sekadar tentang wang semata-mata. Ia tentang bagaimana dan betapa, sesangat pentingnya untuk menguruskan kewangan dengan bijak dan efisyen di alam universiti nanti. Peserta MHi telah diajarkan oleh Encik Harun Mohd Yusof tentang cara membuat bajet, berjimat-cermat dan mencari idea perniagaan yang bersesuaian dengan kami di IPT nanti. Kami dengan ini, berasa begitu yakin sekali untuk menghadapi alam universiti nanti kerana kami sudah sedia dengan skil pengurusan kewangan yang tepat! InshaAllah, masalah kewangan dapat diatasi oleh peserta MHi dengan berkesan di masa hadapan nanti!

 Para peserta MHi kemudiannya didatangi oleh seorang pendebat dari UIA yang selesa dipanggil Abang Anas. Ya, kami sudah tak sabar lagi, untuk BERDEBAT. Tapi kita ‘warm up’ terlebih dahulu sebelum dewan menjadi lebih hangat lagi. Slot dimulakan dengan mengajar serba sedikit tentang debat dan kemudiannya, kami yang masih agak kurang matang pun bermain permainan sambung cerita. Setiap peserta diminta menyambung cerita mengikut giliran. Sambungan dan kisah mencuit hati membuatkan kami tak kering gusi ketika permainan tersebut berjalan.

Dan tibalah saat yang dinanti-nanti. Setiap kumpulan diberikan usul dan ditentukan pihak yang menyokong dan membangkang. Sejurus mendapat usul, setiap kumpulan mengatur strategi kerana setiap seorang hanya diberi peluang untuk menyatakan hujah mereka dalam masa 30 saat saja!

Debat dimulakan oleh Kumpulan 2 ikhwah dan Kumpulan 2 akhawat. Ikhwah menentang akhawat!  30 saat sahaja tapi cukup untuk menghangatkan suasana di dewan tersebut. Bakat dan kebolehan para peserta MHi yang terpendam selama ini terserlah pada petang itu. Ya, siapa sangka, kebanyakan peserta MHi amat berkebolehan dalam bahas dan debat. 3 kumpulan ikhwah dan 2 kumpulan akhawat telah memenangi debat MHi Perdana pada petang itu. Tahniah!

Malam menjelma. Slot ketiga pun bermula. Kak Een berkongsi kisah dan menyeru kami untuk berubah. Untuk menyatakan dari hati, sayonara jahiliah~

Kami diminta melukis sebuah hati sebesar-besarnya dan menulis segala jahiliah yang ada di dalam diri ke atas kertas. Anggap hati itu, hati kami. Lalu, dihitamkan hati itu ibarat hati kami. Hitam penuh dosa. Kemudian, kertas mahjong pula diedarkan kepada setiap kumpulan. Kertas yang putih suci itu pun diwarnai dengan jahiliah-jahiliah kami bersama azam, kami ingin buang jahiliah ini!


Setelah itu, kami dibawa ke dataran dan membentuk suatu bulatan di bawah bintang-bintang yang setia menemani bulan dan kami. Kertas-kertas yang telah dicemarkan oleh jahiliah kami itu tadi diletakkan ke atas tanah dan dibakar. Terbanglah abu-abu bersama jahiliah kami itu sambil diiringi oleh alunan doa taubat dan rabithah hati. Sayu. Tapi kami juga telah ditiup oleh azam baru, kami yang baru pada tahun baru yang bakal menghambat.

oleh 'Iffah Rahim

Comments